Tuesday, 13 December 2011

Rusa yang Bongkak



Di sebuah hutan, ada seekor rusa yang bongkak.  Rusa itu selalu pergi ke tepi kolam untuk melihat bayangnya.  Rusa itu berasa bangga melihat tanduknya yang cantik.   
           ”Oh, cantiknya tandukku!” kata rusa itu kepada dirinya.  Namun demikian, rusa itu tidak suka pada kakinya yang kurus.            ”Hai, lihatlah betapa kurusnya kakiku.  Aku mahu kakiku cantik juga.  Aku mahu kelihatan cantik dari kepala hingga hujung kaki,” rungutnya.
            Pada suatu hari, ketika sedang melihat-lihat bayangnya di tepi kolam, rusa terdengar seekor anjing menyalak.  Rusa itu sedar yang anjing pemburu sedang menuju ke tempat itu.  Rusa itu berasa takut lalu berlari sekuat hati.
            Sedang rusa itu berlari ke dalam hutan, tiba-tiba tanduknya tersangkut pada dahan-dahan sebatang pokok yang rendah.  Rusa itu meronta-ronta untuk melepaskan tanduknya daripada dahan-dahan itu.  Rusa itu bertambah cemas apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat.  Akhirnya, kakinya yang kurus tetapi kuat itu dapat menolongnya melepaskan diri.  Namun, tanduknya patahnya sedikit.
            Anjing pemburu semakin hampir.  Rusa itu dapat melarikan diri kerana ia boleh berlari laju.  Rusa itu kini menyedari kegunaan kakinya yang telah membantu menyelamatkan dirinya daripada bahaya.
            Sejak hari itu, rusa itu tidak lagi memandang kakinya sebagai sesuatu yang buruk atau tidak berguna.  Rusa itu juga tidak bongkak seperti dahulu kerana tanduknya tidak lagi kelihatan begitu cantik.  Sedarlah rusa itu bahawa kecantikan tidak semestinya membawa kebaikan.

Asal Usul Udang Galah Bongkok


    Pada zaman dahulu, kononnya ada seekor udang galah. Udang galah ini adalah haiwan yang paling besar sekali di lautan. Udang galah sangat suka bercakap besar.

     "Tiada siapa yang lebih besar daripada ku," kata Udang Galah. 

Burung laut yang ada di sekitar dan di pinggir pantai terkejut dan ketakutan menyebabkan burung laut merasa benci akan keangkuhan Udang Galah.

     "Ada yang lagi besar daripada kamu. Kalau kamu nak tahu, ikutlah aku," kata burung laut. 
      
Burung laut pun terbang dan Udang Galah pun mengekorinya. Mereka sampai di laut selatan. Udang Galah keletihan di sebabkan perjalanan yang amat jauh lalu ia mencari tempat untuk berehat. Ia ternampak sebuah gua dan segera masuk kedalam.

"Dapatlah aku berteduh," kata Udang Galah. Tiba-tiba ...

"siapa pula yang mencucuk hidungku," kata ikan paus. Udang Galah tidak sedar ia telah masuk kedalam lubang hidung ikan paus.


     "Hei! Kamu masuk ke dalam lubang hudung ku," jerit ikan paus. 
Barulah sedar ia telah masuk kedalam hidung ikan paus. Rupanya ada haiwan yang lebih besar daripadanya. Ikan paus pun bersin. Udang Galah terlambung ke udara dan belakangnya terhempas ke batu karang. 

"Aduh! Sakitnya," kata Udang Galah. Rupanya pinggangnya patah. 

Semenjak itu udang Galah menjadi bongkok. Ianya tidak berani lagi bercakap besar. Jalannya pun mengundur semenjak itu.  

3 Pontianak Berlumba


Maka tersebutlah kisah perihal 3 ekor pontianak. Memasing nak nunjuk siapa yang paling terer. Mereka pun mengadakan sebuah pertandingan tunjuk sapa paling power. Pontianak yang paling muda diberi kesempatan untuk memulakan pertandingan. Lalu dia pun terbang secepat kilat, tak sampai 2 minit dah balik. Mukanya penuh dengan lumuran darah, dan menyeramkan.

Terus dia berkata : "Nkorang nampak kampung kat seberang bukit itu ?" Yang dua ekor pontianak tu ngangguk, "Iya, nampak. "Satu kampung tu itu...habiissss aku kerjakan!!!!"

Angin jugak dua ekor pontianak tu dengar keangkuhan pontianak muda. Kini giliran pontianak yg setengah abad tu pulak. Dia pun pergi sekelebat jugak, tak sampai 1 minit dah balik, mukanya juga penuh dengan cucuran darah.

"Nkorang nampak Bandar tu ?", katanya dengan muker yg kerek "Iya, nampak", yang dua ngangguk juga. "Satu bandar itu juga habiiissssss!!!", kata pontianak yg setengah abad sambil ketawa seram," ha ha ha hah".
Pontianak yang satunya lagi tambah panas, dia pun nak show off jugak. Dia pun tunjukk skill terbang cam kilat. Amat lah terperanjat nya dua sahabatnya, sebab tak sampai setengah minit dia dah balik, dengan penuh cucuran darah di mukanya...

Lalu pontianak yg 2 ekor tu berkata, "gilaa ahh dia ni tak sempat aku nak duduk dia dah balik, memang dia paling power". Sambil mengosok gosok idong nya pontianak tu pun berkata , "Nkorang nampak tembok batu tu ?"

"Nampak! Nampak!", kata yang 2 ekor tu...
"Err aku tadi tak nampak".

Abu dan 100 ekor ayam


Pada suatu hari ada seorang lelaki kaya ingin mengadakan kenduri untuk anaknya. Untuk itu dia ke bandar untuk membeli ayam di kedai Pak Ali. 

Lelaki kaya: "Saya ingin memesan 100 ekor ayam untuk esok, ini alamat saya (seraya memberikan kadnya)." 

Pak Ali: "Baik tuan,saya akan suruh anak buah saya untuk menghantarkannya ke rumah tuan." 
Selepas itu, Pak Ali memanggil anak buahnya yang bernama Abu dan memberikan arahan...  

Pak Ali: "Abu, tolong hantar 100 ekor ayam esok ke alamat ini (sambil memberikan kad lelaki kaya tadi)." 
Abu : "hantar ayam? Beres Tuan !" 


Esoknya dengan menunggang motor si Abu pergi menghantar100 ekor ayam tersebut. 50 ekor diletakkan di sebelah kanan dan 50 ekor lagi diletakkan di sebelah kiri. Akan tetapi malangnya, di tengah perjalanan dia terjatuh dari motornya..., ayam-ayam yang dia bawa langsung terlepas dan lari bertempiaran.


Orang ramai datang untuk mengetahui keadaan si Abu. Tetapi si Abu tidak apa2 malah ketawa terbahak-bahak. Seseorang diantara meraka datang bertanya, mungkin dia merasa khuatir kerana melihat si Abu ketawa ... 


Orang yang bertanya : "Bang, abang tak apa-apa kan... ? Kepalanya tak sakit kan?"  
Abu : "Ha... ha... ha... !" 
Orang yang bertanya : "Bang, kenapa bang ?" 
Abu: "Ha... ha... ha..., dasar ayam-ayam bodoh, mereka nak lari ke mana? alamatnya kan ada pada aku... Hua.. ha.. ha.. ha..." 
Orang yang bertanya  : ???????




Harimau Dengan Bayang-bayangnya



    Di dalam sebuah hutan ada seekor harimau yang besar dan garang. Semua binatang yang kecil takut akan dengan harimau itu. Apabila sang harimau mengaum, semua binatang akan bersembunyi. Binatang yang tidak sempat bersembunyi pasti akan menjadi mangsa harimau tersebut.
    Pada suatu hari, sang kancil sedang mencari makanan di satu kawasan yang redup. Ia seronok memakan daun-daun muda. Tiba-tiba ia terdengar bunyi ranting patah dari arah belakangnya. Ia terus menoleh. Ia nampak seekor harimau sedang menghampirinya.

    Harimau itu mengaum dengan kuatnya dan sungguh menakutkan dan sang kancil tidak sempat untuk melarikan diri. "Kali ini kau tidak boleh lari kan diri lagi, aku akan makan kau, kancil!," kata harimau dengan garang. "Kalau engkau makan aku, kau akan di makan oleh binatang yang lebih besar," kata sang kancil.
    "Binatang yang mana pula berani melawan ku?" tanya harimau dengan marah. "Pagi tadi aku berjumpa dengan seekor harimau yang jauh lebih besar dari mu. Kata harimau itu dialah harimau yang paling kuat di hutan ini." kata  kancil. Harimau menjadi sangat marah dan mengaum dengan sekuat hati.
    "Tunjukkan aku di mana harimau yang angkuh itu. Aku akan mengalahkannya," kata harimau dengan nada yang amat angkuh.
    Kancil pun berlari pantas meninggalkan tempat itu dan harimau terus mengekori. Sekali sekala harimau mengaum kerana marah. Semua binatang lain bertempiran lari ketakutan tetapi merasa pelik kenapa harimau hanya mengekori kancil pada hal mudah untuk harimau membaham kancil. Sampai di sebuah kolam, kancil pun berhenti.
  "Di sini lah aku berjumpa dengan harimau itu, cubalah kamu tengok, aku takut" kata kancil. Harimau pun menjadi lebih marah dengan kata-kata kancil. Ia pun menjenguk ke dalam kolam dengan beraninya. Bayang-bayangnya segera muncul di permukaan air yang jernih dan tenag itu. Harimau mengaum dan membuka mulut seluas-luasnya menunjukkan taringnya yang panjang dan tajam. Harimau di dalam kolam pun membuka mulut seluas-luasnya.
   "Kalau engkau harimau yang paling kuat, pergilah lawan dan tewaskannya," kata Kancil. Harimau bertambah berang dan terus terjun mendapatkan harimau itu ambil mengeluarkan kukunya yang tajam. Bila ia terjun, bayang-bayang pun hilang. Barulah ia sedar yang ia telah di tipu oleh kancil. Harimau untuk naik ke tebing kolam tetapi tidak berjaya kerana tebing itu tinggi. Kancil pun sudah melarikan diri. Oleh kerana terlalu angkuh, akhirnya harimau tewas dengan bayang-bayang sendiri.

Semut dan Merpati



Pada suatu hari, seekor semut sedang minum air di tebing sungai. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air. Dia rasa tentunya akan mati lemas. Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan dan ternampak apa yang berlaku. Dengan pantas, dia memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun itu. 

Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat.

Semut berkata, "Terima kasih, sahabatku. Saya akan menolongmu suatu hari nanti."

Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung. Dia ternampak merpati itu berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anaknya ke arah burung merpati itu.Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut mengingit kaki pemburu. Dia melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi. 

"Terima kasih, semut," kata burung merpati itu.
 "Kali ini, kamu telah menolong saya."





Pahlawan Kecil





Ada seorang raja bernama Prabu Mandiri.  Prabu Mandiri mempunyai seorang putra bernama Mandala.  Mandala anak yang jujur dan berani.  Umurnya baru sembilan tahun.  Ia baik hati dan tidak sombong.
Kerajaan Prabu Mandiri diserang musuh.  Musuh itu dari kerajaan Karanghawu.  Mereka berperang berbulan-bulan.  Alangkah hebatnya peperangan itu!
Prabu Mandiri berkata, "Wahai Mandala...pimpinlah rakyat kita berperang!  Mintalah bantuan pamanmu...Aku sudah tua, tenagaku sudah berkurang.  Aku sudah tidak berdaya lagi."
Mendengar kata ayahnya itu, Mandala bersujud.
Mandala dan pamannya berangkat ke medan perang.  Dibunyikan kentong dan canang.  Rakyat berkumpul di halaman istana.
Mandala berseru, "Hai rakyatku! Musuh hampir tiba, negara kita akan direbutnya!  Bawalah semua senjata...kita bela negara kita!  Berani karena benar, takut karena salah!"
Seluruh rakyat bersorak-sorak, lalu menuju medan perang.  Mereka membawa pedang, panah, dan tombak.  Musuh dapat diusir.
Maka rakyat bersorak dan berseru..."Hidup pahlawan kecil!  Hidup pahlawan kecil!"
Legalah seluruh rakyat.  Mandala menggantikan ayahnya menjadi raja.





Pinocchio



Pada zaman dahulu terdapat seorang tukang kayu yang tua dan miskin bernama Geppetto.Dia amat suka membuat patung.Patung kesayangannya ialah Pinocchio.”Alangkah baiknya kalau aku mempunyai anak”kata Geppetto sambil melihat Pinocchio. 
Pada malamnya, seorang pari-pari yang baik hati datang ke rumah Geppetto dan mengayunkan tongkat saktinya ke Pinocchio sambil berkata”Esok Pinocchio akan dapat bergerak dan bercakap seperti manusia biasa.”

Pada keesokan harinya, Geppetto mendapati bahawa Pinocchio boleh bergerak dan bercakap.Dia sangat hairan dan gembira melihat keadaan Pinocchio yang seperti manusia biasa.Geppetto terpaksa menjual baju dan sepasang kasutnya untuk membeli buku untuk Pinocchio belajar di sekolah.Dia memang ingin menyekolahkan Pinocchio. “Sekarang kamu bolehlah belajar seperti budak-budak lain belajar,”kata Geppetto kepada Pinocchio.Semasa berjalan ke sekolah, Pinochio berhenti untuk menyaksikan pertunjukan patung.”Mahukah kamu menyertai pertunjukan ini?”tanya ketua pertunjukan yang jahat .Tanpa berfikir apa-apa, Pinocchio bersetuju.

Ketua pertunjukan patung itu pun mengunci Pinocchio ke dalam
sangkar yang kecil.Pinocchio berasa takut dan ingin pulang ke pangkuan Geppetto.Tanpa disangka, datanglah seorang pari pari yang baik hati membebaskan Pinocchio dari sangkar kecil itu.Pinocchio berasa sangat gembira.”Saya akan terus pergi ke sekolah dan tidak akan singgah ke mana-mana,”kata Pinocchio
.
Semasa dalam perjalanan ke sekolah Pinocchio terserempak dengan seekor musang yang jahat.Dia menceritakan tentang sebuah pulau yang indah iaitu Pulau Ria.Pinocchio terlupa akan sekolahnya dan dia menukarkan bukunya dengan tiket ke Pulau Ria.”Kamu hendak pergi ke mana?”tanya pari-pari kepada Pinocchio.”Saya hendah ke sekolah,”Pinocchio berbohong.Tiba-tiba hidung Pinocchio menjadi panjang.Dia berasa menyesal kerana berbohong dengan pari-pari yang telah menyelamatkannya.



Pari- pari muncul lagi untuk membantu Pinocchio dan menukarnya ke rupa asal .Pinocchio segera meninggalkan pulau itu.Dia duduk di sisir pantai dan ingin bertemu dengan Geppetto.Tiba-tiba dia melihat kelibat Geppetto sedang mengayuh sampan.Semasa Geppetto sedang mengayuh sampan,seekor ikan paus muncul dari belakang dan terus menelan Geppetto bersama sampannya.Pinocchio berenang dengan sekuat-kuat hatinya untuk menyelamtkan Geppetto.Apabila Pinocchio hampir dengan ikan paus itu,ikan paus membuka mulutnya dengan luas.Pinocchio terus berenang dan masuk ke dalam mulut ikan paus itu.

Pinocchio berjumpa dengan Geppetto.Mereka berasa gembira kerana dapat bertemu lagi."Mari kita kumpulkan kayu api dan bakarnya,"kata Geppetto kepada Pinocchio.Asap api membuatkan ikan paus itu membuka mulutnya lalu Pinocchio dan Geppetto pun keluar dari situ.Pinocchio dan Geppetto berenang hingga ke persisiran pantai.Mereka amat letih lalu tertidur di situ.Apabila bangun,Geppetto mendapati bahawa Pinocchio telah berubah menjadi manusia.Dia sangat gembira kerana impiannya untuk memiliki anak sudah tercapai.

sang Arnab dan sang Kura-kura


Suatu masa yang dahulu, Sang Arnab dan Sang Kura-kura saling mencabar satu sama lain tentang siapa yang terpantas dan akhirnya mereka bersetuju untuk mengadakan perlumbaan. Perlumbaan ini akan menentukan siapa lebih pantas. Sesiapa yang sampai lebih awal di garisan penamat yang dipersetujui dikira sebagai pemenang.
Perlumbaan pun bermula. Sang Arnab memecut pantas. Di separuh jalan, dia memandang ke belakang dan melihat Sang Kura-kura masih jauh. Jadi Sang Arnab pun berehat dibawah pokok dan tertidur.

Sang Kura-kura secara perlahan dan konsisten memotong Sang Arnab dan muncul sebagai juara perlumbaan tersebut. Sang Arnab terjaga dan menyesali apa yang terjadi.

Sang Arnab kecewa dengan kekalahan ini. Sang Arnab membuat kajian untuk mengkaji sebab-sebab kekalahannya kepada Sang Kura-kura. Sang Arnab mendapat jawapan bahawa dirinya terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa.

Jika dia menyelesaikan ketiga-tiga masalah tadi, adalah mustahil dia akan kalah. Jadi Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura untuk mengadakan perlawanan kedua. Sang Kura-kura bersetuju.

Kali ini Sang Arnab memecut dari garisan permulaan sehingga garisan penamat. Dia memenangi pertandingan dengan meninggalkan Sang Kura-kura jauh ketinggalan di belakang.

Cerita ini bersambung lagi. Kali ini Sang kura-kura pula memikirkan strategi untuk menang. Sang Kura-kura menyedari bahawa jika format pertandingan seperti sedia ada, adalah mustahil bagi Sang Kura-kura untuk menang. Strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan.

Setelah berfikir panjang. Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk perlumbaan ketiga. Kali ini dengan laluan yang dikemukakan oleh Sang Kura-kura adalah sedikit berbeza dari laluan asal. Sang Arnab bersetuju.

Perlumbaan dimulakan. Berbekalkan komitmen yang ada, Sang Arnab memecut pantas dan terhenti di sebuah sungai yang besar. Garisan penamat adalah beberapa kilometer diseberang dari sungai ini. Sang Arnab tidak tahu berenang.

Sang Arnab berhenti di tebing sungai dan memikirkan tentang apa yang patut dilakukan sekarang. Pada masa yang sama pula, Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan, setibanya di sungai, dia berenang ke seberang dan kemudiannya berjalan semula sehingga tiba di garisan penamat. Sang Kura-kura menang.

Jika anda tidak mahir dan tidak berminat dalam bidang anda. Tinggalkan bidang itu dan cari orang yang mahir dalam bidang tersebut. Jika anda minat dalam sesuatu bidang, ceburi bidang tersebut dengan sepenuh hati. Tetapkan laluan perlumbaan anda berdasarkan kelebihan dan minat yang anda miliki.


Setelah 3 kali perlumbaan. Sang Arnab dan Sang Kura-kura telah menjadi rakan karib. Mereka berbincang bersama. Mereka mendapat idea baru tentang cara meningkatkan kepantasan perlumbaan mereka.

Mereka bersetuju untuk berlumba, tetapi bukan sebagai pesaing tetapi sebagai satu pasukan.

Perlumbaan dimulakan. Sang Arnab mendukung Sang Kura-kura dibelakangnya dan memecut pantas sehingga ke sungai yang besar. Setibanya di sungai, Sang Arnab pula berada di atas Sang Kura-kura yang sedang berenang. Setibanya di seberang sungai, mereka bertukar posisi sekali lagi dan sampai ke garisan penamat dengan jayanya.
Mereka merasa lebih puas dan berjaya berbanding apa yang mereka telah lalui sebelum ini.

Sang Singa dan Sang Tikus






Ada seekor tikus yang tinggal di dalam satu lubang.
Lubang itu berada di dalam hutan.Dekat dengan lubang itu, tinggal seekor Singa yang garang. Semua binatang takut dengan Singa itu.

Pada suatu hari, di waktu malam, ketika Singa sedang tidur, tikus itu pun keluar mencari makanan.
Tikus berjalan di dalam gelap.
Tikus tak berapa nampak kerana gelap sangat.
Tiba-tiba, tikus terlanggar sesuatu.
Rupa-rupanya tikus terlanggar Singa.

Singa sangat marah kerana ada yang mengganggu dia tidur.
“Aum, berani kamu kacau aku tidur!, aku akan makan kau.” Kata sang Singa.
Tikus sangat takut.
“Tolong jangan bunuh saya, saya cuma seekor tikus yang kecil. Tuan tak kenyang pun kalau makan saya. Nanti manalah tahu kalau tuan perlukan bantuan satu hari nanti saya akan tolong.” Rayu sang tikus.

“Hahaha… Hahaha… apa yang tikus kecil macam awak ni boleh tolong saya? Hahaha… Saya adalah raja rimba… kenapa saya perlu bantuan awak? Tak pe lah, sebab kan awak ni kelakar, saya lepaskan awak.” Balas Singa sambil ketawa terbahak-bahak.


Beberapa hari kemudian, sedang tikus berjalan-jalan di dalam hutan mencari makanan, tiba-tiba dia terdengar suara Singa mangaum meminta tolong.
“Aum, tolong!, tolong!” jerit singa.
Tikus berlari sekuat hati menuju ke arah suara singa.


Dia ternampak Singa terperangkap di dalam sebuah jaring perangkap yang di pasang oleh pemburu.
Tikus terus menggigit jaring itu sampai putus.
“Terima kasih tikus, kerana menyelamatkan saya. Saya tak sangka yang awak boleh tolong saya.” Kata singa.
“Sama-sama.”


Sebab itulah kita tidak boleh pandang rendah pada orang lain. Setiap orang ada kekuatan dan ada kelemahan masing-masing. Singa yang kuat pun tak boleh buka jaring, tapi tikus yang lemah, boleh.

Monday, 12 December 2011

Sang Kancil yang cerdik




Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek aja, jenih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah uara itu. Kerbau ternampak air terhambur naik di tebing sungai.

"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai dekat rimbunan buluh. Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau ternampak sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih sebatang kayu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di tengah belakangnya.Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya. Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkapnya.

"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila dirasai kakinya digigit buaya. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku," jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau.
"Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat," sambung kerbau lagi. "Aku tidak peduli," jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada dalam air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas. Kerbau merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun mahu hidup. Kau makanlah benda lain," kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli. "Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau jawapannya sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan kau," ujar buaya lagi.
Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka bersama-sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu. Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut. Buaya pun bertanya pada saji.

"Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik dibalas jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah hidupnya. "Di rumah, aku digunakan untuk menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku lindungi," jelas saji. "Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup makanan, aku dibuang ke sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik dibalas jahat," saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut."Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa yang aku kata?" tanya buaya. Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya. 


Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk pula hanyut di situ. Sebelah daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus. Tetapi kasut itu bergantung kepada pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah kasut itu bersama-sama hanyut. "Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya," kata buaya. "Kasut, betul atau tidak berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. Kerbau berdebar-debar menunggu jawapan kasut. Kalau kasut bersetuju dengan kenyataan itu bererti ia akan selamat. Kalau kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya. "Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat," jawab kasut. Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila mendengar kasut memberi jawapan itu. Kasut lalu bercerita.Pada suatu masa lalu, kasut amat disayangi oleh tuannya. Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan. Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat selamat. Kasut itu juga hanya dipakai oleh tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuannya pergi ke tempat berpasir atau berlumpur, kasut itu tidak dipakainya. Tetapi apabila sudah buruk, kasut itu tidak disayangi lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu dibaling ke tepi tangga selepas digunakan. Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di halaman rumah. Kasut itu dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi tempat persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke sini," kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama arus air. "Sudah dua jawapan. 


Engkau kalah. Tetapi aku bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada kerbau.Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang ketiga, tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis. "Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili kami," kata buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya. "Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya. "Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih batang pokok patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya. "Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?" tanya Kancil. "Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya. "Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok. "Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya?

Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil. "Up! Up!" bunyi suara buaya cuba mengalih batang pokok. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil.Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak. Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau. "Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil. Kerbau segera mendekati batang pokok itu. 


Kerbau menundukkan kepala hendak engangkat batang kayu itu. "Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau. "Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

 

Himpunan Cerita Kanak-kanak Copyright © 2011 Phauline Philip